Apa yang Perempuan Mahu Sebenarnya Dari Bakal Suami?

Apa yang Perempuan Mahu Sebenarnya Dari Bakal Suami?

Dengar..

Walaupun anda sudah menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri..

… itu tidak bermakna tugas anda telah selesai.
Itu masih belum cukup bagi perempuan yang bergelar isteri.
Sebagai lelaki, saya akui memang sukar untuk memahami apa yang perempuan mahukan daripada kita sebenarnya.
Tindakan mereka selalu bercanggah, dan kata-kata mereka selalu mengelirukan.
Mereka tidak memberitahu kita apa yang mereka mahu dari kita.
Mereka selalu mengharapkan para suami faham sendiri dan sentiasa hidup dengan berteka-teki tentang apa yang mereka rasa.
Perempuan bila tak dipujuk, dia marah. Dan bila dah dipujuk, dia semakin merajuk.
Ada masanya, isteri akan menjadi sangat sensitif. Tiba-tiba boleh menjadi pemarah, dan kadangkala menangis tanpa sebab yang pasti.
Memeningkan bukan?
Apa yang perempuan mahu sebenarnya?

Mengapa perempuan begitu?

Tapi secara realitinya, memahami hati seorang isteri sebenarnya tidaklah rumit.
Sebenarnya, apa yang wanita mahu adalah ingin berasa selamat, ingin rasa ada ikatan emosi dan merasa yakin bahawa kita akan bersama mereka untuk seumur hidup.
Sepanjang tempoh perkahwinan saya,  saya selalu memerhatikan gelagat isteri saya.
Kadangkala bertanya kepada dia apa yang dia mahukan secara berlapik, tanpa dia sedar.
Ada beberapa perkara menarik yang saya dapat kongsikan mengenai perempuan, khususnya isteri.
Berminat untuk tahu?
Teruskan membaca artikel ini..

1. Isteri laparkan perhatian

Berapa kali anda buat kerja lain apabila berbual dengan mereka?
Adakah anda selalu menjawab soalan mereka secara sambil lewa dan menjawab lain apa yang ditanya?
Sebenarnya sifat semulajadi wanita adalah mereka sangat menghargai setiap waktu yang mereka luangkan bersama kita.
Mereka mahu kita memberi perhatian dan terlibat sepenuhnya setiap saat dengan mereka. Dengan erti kata lain, mereka laparkan perhatian.
Sebagai suami, seboleh-bolehnya luangkan masa untuk isteri anda. Fokus kepada mereka.
Pada awal perkahwinan saya, saya selalu mengabaikan perkara ini. Saya selalu lebih fokus terhadap kerja, sepanjang hari dan sepanjang malam. (menulis mengambil masa yang banyak)
Perkara ini selalu membuatkan isteri saya rasa terabai.
Tetapi setelah mengetahui perkara ini, saya cuba mengimbangi masa bekerja dan masa untuk isteri.
Alhamdulillah, tindakan ini memberi impak kepada kemesraan kami kembali.
Saya tahu perkara ini mungkin agak sukar bagi suami yang selalu bekerja lebih masa, tetapi luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari akan memberi makna yang besar terhadap isteri.
Yang penting, gunakan waktu tersebut untuk perhatian sepenuhnya terhadap mereka.

2. Suami yang sentiasa tenang

Wanita menghargai seorang suami yang dapat mengawal emosi dan terbuka untuk membincangkan isu-isu tanpa meninggikan suara atau mengelakkan diri.
Kematangan emosi dan fikiran adalah apa yang wanita mahu dari kita lebih daripada apa-apa perkara lain.
Menurut Imam Ghazali, jadilah seorang suami yang halim.
‘Halim’ maknanya ialah “sabar”, tidak cepat marah ketika isterinya kurang akal. Bilakah seorang isteri kurang akal? Yakni ketika isterinya sedang marah.
Lalu dia bersabar, maka itulah suami yang paling baik..
Jadi, perdengarkan apa yang dikatakan isteri tanpa prejudis dan ambil hati.
Mendengarkan akan membantu isteri melepaskan perasaan yang terpendam, yang mengganggu emosinya.
Walaupun anda tidak mampu menyelesaikan masalahnya – dengarkan dan fahamkan mereka dengan sepenuh hati.

3. Mampu merendahkan diri

Kebanyakkan suami (lelaki), kita tidak dapat lari masalah ego.
Memang benar, didalam rumah tangga kita adalah ketua keluarga. Kita mahu kelihatan lebih dihormati dan membuktikan kita adalah pemimpin terbaik.
Namun, jangan disebabkan ini, kita menjadi seorang yang angkuh, meninggi diri dan kasar.
Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya.
– Hadis riwayat at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani
Apa yang isteri perlukan adalah seorang suami yang dapat merendah diri, adil dan sopan dalam melayani isteri.
Jangan sesekali memandang rendah atau menghina mereka dan juga ahli keluarga mereka. Isteri adalah sahabat kita, beri mereka penghormatan yang sewajarnya.
Jagalah hati mereka, insyaAllah dengan keberkatan akan hadir rumah tangga anda.

4. Boleh mempamerkan kelembutan (gentleman)

Memang bukan dalam sifat kita lelaki untuk lembut dan gemalai.
Secara normalnya, lelaki selalu sedikit kasar. Baik dari segi pergaulan, percakapan dan tindakan.
Tetapi apabila berkisar tentang rumahtangga, lemah lembut dalam perkataan, pemikiran, dan tindakan akan memberi banyak keharmonian dalam rumahtangga.
Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
– surah al-Nisa’ ayat 19.
Layanilah isteri dengan penuh hormat. Berbuat baik dan bercakaplah dengan perkataan yang lembut.

5. Suami yang kuat

Wanita sukakan lelaki yang kuat.
Tapi ini tidak bermakna kita harus memukul orang lain yang buat silap dan tergesa-gesa menyelesaikan masalah
Kekuatan yang sebenarnya adalah mampu bersabar, mampu mendengar luahan isteri, dan berupaya serta tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan hidup yang muncul.
Tunjukkan kepada isteri anda bahawa anda sentiasa ada disisinya untuk setiap waktu.
Inilah kekuatan sebenar yang diperlukan oleh seorang isteri.

6. Sentiasa jelas dalam menyelesaikan masalah

Kebanyakkan lelaki cenderung untuk tidak fikir berlebih-lebih atau merumitkan sesuatu perkara.
Kita kurang bimbang tentang apa yang orang lain fikir dan tidak menghabiskan banyak masa risau tentang perkara yang kita tidak pasti.
Teruskan untuk memudahkan sesuatu perkara dengan mencari jawapan yang mudah dalam situasi yang kompleks.
Dan membawa perspektif yang jelas dalam sebarang masalah.

7. Humor

Life’s too serious already.
Kadangkala isteri mahu juga ketawa. Humor adalah cara yang baik untuk mengurangkan ketegangan.
Jika anda seorang yang pandai buat lucu, selalulah berjenaka dalam hubungan rumahtangga anda. Jika anda bukan jenis kelakar, maka berkongsilah perkara-perkara yang anda rasa lucu dengan isteri anda.
Ketawa mampu merapatkan jarak diantara dua hati.

8. Menunjukkan kasih sayang

Isteri sukakan perkara-perkara kecil, seperti gerak isyarat yang menunjukkan kepada mereka bahawa kita berfikir tentang mereka.
Ya, perkara ini mungkin seperti mesej whatsapp yang sweet yang tidak dijangka olehnya, belikan makanan kegemaran atau membuat sesuatu perkara untuknya tanpa perlu diminta.
Perkara lain yang mungkin boleh dilakukan adalah termasuk memberi hadiah tanpa sebab, menampalkan nota terima kasih di cermin atau bawa dia makan diluar sekali-sekala.

9. Beri penghargaan kepada isteri

Banyak yang pasangan kita lakukan dalam rumahtangga tidak akan sedari .
Kebanyakan suami (dan isteri) cepat menyalahkan pasangan mereka dengan rungutan dan bebelan, tetapi jarang pula untuk berkongsi apa yang mereka suka dengan pasangan mereka.
Isteri biasanya membahagikan masa pada banyak perkara dalam satu masa dan peranan mereka sering diambil mudah.
Tunjukkan penghargaan anda kepada mereka. Ucapkan terima kasih. Beri mereka pelukan.
Tunjukkan bahawa anda menyedari segala pengorbanan yang dia lakukan akan banyak membantu isteri rasa dihargai dan disayangi.

10. Menerima segala kelemahan Isteri

Daripada mencabar, mentertawakan isteri anda, atau mempersoalkan kelemahan isteri anda, mengapa tidak menerima sahaja semua itu dengan hati yang terbuka?
Jangan tunjukkan kelemahan dia, jangan disebut mengenai sifat-sifat tertentu yang jelik, atau membuat dia berasa sedih tentang sesuatu yang dia sudah merasa kecewa mengenainya.
Secara semulajadi, wanita memang selalu merasakan dinilai oleh orang lain. Dia rasa selalu diperhatikan.
Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.”
– Hadith riwayat Muslim
Jangan pernah menyesal dengan segala baik dan keburukan isteri kita.
Berhenti menghakimi mereka dan terimalah mereka apa seadanya. InsyaaAllah, perkara ini akan membantu mereka rasa disayangi dan selamat bila bersama-sama kita.

Penutup: memahami isteri bukannya sukar.. tapi..

Sebenarnya, bukanlah sukar untuk memenuhi kehendak isteri, cuma kita kadangkala perlu lebih peka dengan mereka.
Mereka ingin perhatian. Mereka ingin disayangi. Mereka ingin sentiasa mahu rasa ada seseorang disisi.
Tunaikan apa yang mereka perlukan ini, pasti ada kehangatan dan kebahagiaan dalam rumah tangga anda.
Lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”
– Surah an-Nisa, ayat 34
Tujuan saya menulis artikel ini bukanlah mendakwa saya suami yang baik, tetapi sebagai peringatan saya sendiri (dan kita bersama)  agar lebih menghargai isteri kita.
Semoga kasih sayang dalam rumah tangga anda membawa hingga ke syurga.
Photo by Adi Fotografer

Sekarang giliran anda..

Sekarang saya mahu dengar daripada anda:
Apa yang anda fikir tentang checklist diatas?
Atau anda mempunyai persoalan yang bermain dalam fikiran.
Apa pun anda fikirkan, tinggalkan komen pada ruangan dibawah
Saya akan berada diruangan blog ini pada sepanjang hujung minggu ini untuk membalas segala komen dan menjawab persoalan.
Jadi jika anda soalan atau buah fikiran, pastikan anda meninggalkan komen sekarang.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Yakinlah ada sesuatu yang menantimu selepas banyak kesabaran yang kau jalani yang akan membuatmu tersenyum hingga kau lupa pedihnya rasa sakit.

Adakah Anda Masih Belum Bertemu JODOH?